Kepentingan Perancangan Kewangan

Ramai orang menganggap perancangan kewangan sebagai sesuatu yang membebankan serta menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang menyeronokkan. Kalau sentiasa hidup berjimat, sudah tentu anda perlu mengorbankan aktiviti-aktiviti keseronokan sekarang, bukankah begitu?

Cuba fikirkan, jika anda perlu berjimat, anda masih boleh memperuntukkan wang dengan sedemikian supaya anda mempunyai wang untuk keluar dengan rakan-rakan dan bersuka ria. Jika anda dapat mengaturkan tabiat perancangan kewangan yang baik, anda boleh memastikan anda mempunyai cukup wang untuk lebih berseronok pada masa hadapan!

Dengan merancang kewangan, anda berupaya mengelakkan perbelanjaan berlebihan, hutang tidak terurus, kebankrapan atau kebergantungan kepada orang lain. anda juga dapat mengeratkan lagi hubungan peribadi dengan orang sekeliling anda, seperti keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja kerana anda gembira dengan kehidupan anda dan tidak perlu pinjam-meminjam wang untuk memenuhi keperluan atau mengharapkan sumbangan kepada orang lain.

Selain itu, anda juga akan bebas daripada kebimbangan kewangan kerana anda telah merancang bagi masa depan, menjangka perbelanjaan dan mencapai matlamat peribadi hidup dan mampu menjadi lebih efektif untuk mendapatkan, menggunakan dan melindungi sumber kewangan anda sepanjang hayat, bukan bagi diri anda malah bagi mereka yang tersayang.

Dengan erti kata lain, apabila anda mempunyai pelan kewangan peribadi yang terurus, anda lebih arif tentang keperluan masa depan dan sumber yang sedia ada. Anda juga mendapat ketenangan kerana mampu mengawal segalanya. Hebat?

Tapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perancangan kewangan?

Kalau mengikut definisi buku, ia adalah satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapan dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh.

Secara praktikal, perancangan kewangan adalah segala yang berkaitan dengan mengurus kedudukan ekonomi atau kewangan seseorang individu dengan mengambil kira perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli asset seperti kereta atau rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan anak kita.

Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Selain itu juga, ia adalah panduan untuk membantu anda mencapai sesuatu matlamat pada masa hadapan.

Tapi lazimnya, rakyat Malaysia masih belum diberi pendedahan secukupnya mengenai perkara ini. Kita harus akui bahawa dalam pendidikan formal di Malaysia, subjek tentang kewangan peribadi masih belum dilaksanakan secara menyeluruh. Natijahnya ramai rakyat Malaysia yang telah bekerja mengalami masalah kewangan terutamanya berkaitan tentang perbelanjaan dan hutang sedangkan separuh daripada manusia terkaya di dunia adalah perancang kewangan. Nama-nama seperti Warren Buffet (pemilik AIG Group) orang kedua terkaya di dunia dan keluarga Waltons (asasnya pemilik Wal-Mart) di mana 4 orang ahli keluarganya adalah antara 10 terkaya di dunia pada amnya adalah perancang kewangan yang boleh dijadikan contoh.

Merancang kewangan adalah satu proses dan strategi perancangan yang dirangka dengan baik yang menggunakan sumber kewangan anda untuk mencapai matlamat jangka masa sederhana dan panjang. Menerusi perancangan kewangan ini anda dapat melihat di manakah kedudukan kewangan anda pada masa kini, arahnya pada masa depan, bagaimana untuk mencapainya dan bila sepatutnya bermula.

Amat penting bagi setiap individu untuk membuat perancangan kewangan secepat mungkin terutama bagi mereka yang mula memasuki alam pekerjaan. Jika yang sudah lama bekerja, tetapi masih lagi belum membuat sebarang perancangan, masih lagi belum terlambat. Tidak kira di titik mana anda berada tetap tidak terlewat untuk membuat sebarang perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Merancang perbelanjaan dengan bijak dapat menyelamatkan kita daripada mengalami krisis kewangan. Tanpa perancangan yang rapi banyak perkara yang tidak dapat kita melakukannya dengan baik.

Sebagai contoh, sekiranya anda ingin bersara awal dengan harga barang keperluan seharian semakin meningkat. Jika kita tak menyimpan duit sekarang, mana datangnya duit itu esok hari? Kemudian ada yang beranggapan akan mati awal selepas bersara. Tiada siapa yang mampu meramal ajal dan maut bukan?. Jika masih tak bersedia untuk buat persediaan untuk orang yang akan terus hidup selepas kita tiada, bagaimana mereka meneruskan kehidupan jika hari esok tak ada simpanan? Bayangkan, jika anak-anak yang di tinggalkan masih kecil? Jika keadaan terdesak, adakah mereka akan membuat pinjaman daripada individu yang tak bertauliah? Selalunya kita beranggapan, bila hari itu tiba, pandai-pandai lah mereka teruskan kehidupan.

Itulah contoh betapa pentingnya merancang kewangan dalam kehidupan.

Belum jelas lagi? Baiklah, mari kita singkap satu persatu kepentingan merancang kewangan:

1. Asas Pengurusan Wang

Ia melibatkan pengurusan akaun simpanan dan cek. Dalam menguruskan aset kewangan, ini merupakan langkah pertama terhadap pengurusan aset kewangan yang lebih rumit seperti pelaburan dan akaun bersara. Anda mestilah bijak memilih akaun cek di bank/institusi kewangan yang tepat. Menguruskan akaun simpanan melibatkan pemahaman pentingnya simpanan, menetapkan tujuan simpanan, dan memilih pilihan terbaik simpanan.

2. Pengurusan Kredit

Kredit adalah bidang kewangan peribadi yang menyebabkan ramai orang terjebak dalam masalah kewangan. Kredit membolehkan seseorang untuk menerima wang, barang, atau perkhidmatan dalam bentuk pinjaman dengan bersetuju untuk membayar pinjaman pada jangka waktu dan kadar bunga kredit tertentu. Pengurusan kredit yang betul adalah tentang kefahaman tentang pinjaman wang bagi mendapat tawaran yang baik; dan bagaimana untuk mengira beban kewangan dan bayaran bulanan. Ia juga melibatkan bagaimana untuk memperbaiki catatan kredit yang buruk dan tempat untuk mendapatkan bantuan jika anda mendapat kesulitan.

3. Pengurusan Cukai

Membayar cukai adalah aspek yang penting dalam perancangan kewangan diri. Tujuan pengurusan cukai adalah untuk menimbang pendapatan semasa dan akan datang seseorang serta membangunkan langkah yang berlainan dan/atau mengurangkan pembayaran cukai. Terdapat salah anggapan yang biasa dibuat iaitu hanya yang berpendapatan tinggi sahaja yang perlu terlibat dengan perancangan cukai. Semua pengguna harus merancang cukai mereka.

4. Perbelanjaan Berkesan

Dalam lingkungan had belanjawan diri sendiri, setiap individu melatih diri atau hak sebagai pengguna untuk memilih atau menolak pelbagai kebanjiran produk dan perkhidmatan yang sedia ada. Seperti anda membeli tanah dan kereta, wang anda dapat digandakan atau diboroskan. Jangan mensia-siakan pendapatan anda dan simpan lah untuk tujuan kesihatan diri.

5. Insurans

Walaupun betapa berhati-hatinya anda dalam menjalani kehidupan, anda tidak boleh mengelak daripada berdepan dengan kemalangan. Insurans telah direncanakan untuk melindungi harta anda daripada kemalangan, kesakitan, kecacatan, dan kematian. Matlamat anda adalah untuk mendapatkan insurans yang sesuai bagi setiap perkara insurans utama (hidup, kesihatan, kecacatan, kekayaan dan tanggungan).

6. Pengurusan Pelaburan

Pelaburan adalah proses yang membolehkan wang diperoleh melalui kerja, warisan/peninggalan, atau sumber yang lain. Pengurusan pelaburan yang baik adalah komponen penting bagi perancangan kewangan dan boleh membuatkan ia mudah untuk mencapai matlamat utama lain seperti membeli rumah, menghantar anak ke universiti, memulakan perniagaan, atau bersara dengan selesa. Amat sukar pada masa sekarang ini untuk menggandakan kekayaan tanpa melabur.

7. Perancangan Kewangan Untuk Masa Depan

Merancang untuk pembelajaran anak, tahun persaraan, dan mengenal pasti cara yang terbaik mewariskan harta kepada bakal pewaris anda. Terdapat dua pelan gaji persaraan iaitu persaraan ditaja majikan dan pelan persaraan individu. Selain itu, perancangan kewangan untuk masa depan ialah perancangan tanah (real estate). Untuk semua perancangan diri, perancangan tanah adalah relevan untuk anda.

Sudah jelas? Baiklah mari kita sama-sama belajar tentang sebahagian elemen dalam perancangan kewangan yang anda rasa ‘sukar’ ini:

1. Pengurusan Aliran Tunai

Berfungsi untuk menilai nilai bersih kewangan yang ada sekarang (apa yang dimiliki ditolak hutang yang sedia ada). Secara amnya akan menunjukkan kepada anda sama ada anda bakal menikmati kebebasan kewangan atau mengalami masalah kewangan.

2. Perancangan Pelaburan

Setelah anda menentukan jumlah wang yang ingin ditabung, anda patut menimbangkan pula di mana hendak melaburkan wang itu dengan matlamat untuk mendapat pulangan lebih tinggi dibandingkan dengan akaun simpanan yang biasa. Satu strategi pelaburan perlu dibentuk supaya anda mendapat kejayaan besar dalam mencapai matlamat kewangan anda.

3. Perancangan Insurans

Pastikan supaya semua aset dan keluarga anda dilindungi oleh insurans secukupnya.

4. Perancangan Cukai

Perancangan cukai membabitkan semua orang yang mempunyai pendapatan, namun ini yang selalu tidak diambil berat atau dilupakan oleh kebanyakan orang. Oleh itu, perancangan cukai membabitkan strategi untuk menikmati yang terbaik daripada pendapatan, saham, harta tanah dan harta lain yang anda miliki, bawah sistem cukai tempatan.

5. Perancangan Persaraan

Anda tidak akan bekerja sepanjang hayat. Apabila tanda-tanda usia meningkat sudah bermula atau anda telah mencapai usia mesti bersara, anda terpaksalah bersara. Oleh itu, amat mustahak mempunyai pelan kewangan.

6. Perancangan Harta

Mempunyai perancangan harta atau wasiat dapat memastikan kehendak anda terhadap kedudukan masa hadapan keluarga akan dilaksanakan. Selain itu, perancangan harta atau wasiat dapat menyediakan kedudukan kewangan yang kukuh untuk keluarga anda, memastikan harta anda terpelihara dan diberikan kepada waris-waris anda, serta mengelakkan perselisihan antara ahli keluarga.

Akhir sekali, pelan kewangan yang kukuh sepatutnya bukan sekadar membeli satu pelan insurans atau unit amanah sahaja, tetapi perlu merangkumi keempat-empat kunci utama membina kekayaan iaitu, pengumpulan harta, pengurusan harta, perlindungan harta dan pengagihan harta.

Proses Perancangan Kewangan Peribadi anda melibatkan enam elemen ini iaitu:

  1. Menilai kedudukan kewangan semasa anda.

  2. Menetapkan matlamat kewangan peribadi anda.

  3. Menentukan tindakan yang perlu diambil

  4. Menilai alternatif yang akan memenuhi matlamat kewangan anda

  5. Mewujudkan pelan kewangan anda dan melaksanakannya

  6. Mengkaji semula dan menyemak pelan kewangan anda

Memandangkan keperluan anda adalah berbeza-beza mengikut umur dan keutamaan, keutamaan kewangan anda akan diselaraskan untuk memenuhi keperluan tersebut pada waktu yang berlainan dalam hidup anda. Maka, apa yang anda lakukan dengan wang anda sambil menempuh kehidupan dewasa bergantung pada matlamat kewangan anda. Walau bagaimanapun, adalah penting dan berfaedah untuk ditekankan di sini bahawa untuk mencapai matlamat kewangan, anda perlu membuat simpanan dan menabung mulai sekarang. Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan!

sumber: http://www.usahawan.com/bebas-hutang/kepentingan-perancangan-kewangan.html

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s