Konsep Wakalah: Aplikasi dalam takaful

12494901_1668194700121267_9122554496972988491_n

TAKAFUL merupakan satu daripada sektor yang berkembang pesat pada hari ini seiring dengan keperluan umat terhadap pengurusan kewangan. Melihat kepada perkembangan sihat ini, takaful bukan lagi bertindak sebagai alternatif kepada sistem insurans konvensional malah ia telah bertukar menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam sekiranya ingin mengambil produk perlindungan.

Sejajar dengan aspirasi negara untuk muncul sebagai hab global industri kewangan Islam, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan beberapa piawaian mengenai kontrak syariah kepada industri kewangan Islam termasuk takaful bagi memastikan setiap institusi mematuhi kehendak syariah dalam urusan kewangan dan pada masa yang sama memberi keyakinan kepada pengguna. Ini bersesuaian dengan sistem kewangan Islam sangat menekankan perihal kontrak yang digunakan dalam sesuatu transaksi. Ia haruslah mempunyai asas dan sandaran dalil syariah yang jelas sebelum diaplikasikan terhadap sesuatu produk kewangan atau transaksi yang ingin dilakukan.

Dalam takaful, kontrak wakalah adalah satu kontrak asas yang utama. Perkataan wakalah daripada perkataan Arab `wakala’ yang membawa erti menjaga, menjamin, melengkap dan menyerah. Apabila dikatakan seorang itu wakil bererti orang itu adalah sebagai penjaga, penjamin, pelengkap atau seseorang itu diserahkan kepadanya sesuatu hal atau urusan untuk dilakukannya. Dari segi istilah pula, kebanyakan ulama mentakrifkan wakalah sebagai seseorang (prinsipal) memberikan kuasa kepada orang lain (ejen) untuk melakukan sesuatu yang ia patut melakukannya di dalam perkara yang boleh dilakukan (mengikut syara’) oleh orang yang menggantikannya semasa hayatnya.

Ulama bersepakat menyatakan bahawa Islam mengharuskan seseorang itu melantik wakilnya di dalam sesuatu urusan. Ini bertepatan dengan tindakan Rasulullah SAW yang melantik wakil-wakil baginda di dalam banyak perkara, sebagai contoh baginda telah melantik Aba Rafie’ sebagai wakilnya di dalam perkahwinan Maimunah, melantik Al-Dhamiri sebagai wakil di dalam perkahwinan Ummu Habibah. Baginda juga telah melantik pegawai-pegawai sebagai wakil baginda dalam memungut zakat, mengelolakan askar dan mentadbir negeri-negeri dan daerah-daerah sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Dr. Wahbah Al-Zuhaili dalam buku Al-Fiqh Al-Islami.

Di dalam takaful, kontrak wakalah ini digabungkan bersama dengan kontrak ijarah amal yang membentuk kontrak Wakalah bi al-Ujrah. Penggabungan dua kontrak itu tadi menyebabkan pengendali ta­ka­ful berhak untuk menerima dan mendapat upah tertentu hasil daripada pemberian tenaga kerja dan kepakaran di dalam mengendalikan dana takaful.

Antara kepakaran dan kerja yang dilakukan oleh pengendali takaful merangkumi proses pengunderitan, di mana setiap peserta yang ingin menyertai takaful perlu dinilai dari sudut kewangan dan kesihatan sebelum diterima masuk ke dalam takaful. Proses pengunderitan ini antara fungsi terpenting dalam takaful kerana ia penentu kadar sumbangan seseorang ke dalam dana takaful. Pada masa yang sama, pengendali takaful yang juga bertindak sebagai wakil kepada peserta akan mencurahkan kepakarannya dalam menilai setiap kes tuntutan yang dilakukan supaya wang dana takaful diberikan kepada peserta yang layak.

Walaupun pengendali takaful dibenarkan untuk mengambil upah, beberapa kriteria perlu dipenuhi bagi mengelakkan kontrak wakalah terbatal. Antara komponen utama ialah peserta perlu bersetuju dengan upah yang akan dikenakan oleh pengendali takaful semasa proses penyertaan takaful. Upah ini boleh diilustrasikan sama ada dalam bentuk amaun sebenar, nisbah tertentu daripada jumlah tertentu seperti 30 peratus daripada jumlah sumbangan atau amaun yang dihubungkan kepada sesuatu penanda aras.

Bukan sekadar itu sahaja, terdapat juga pengendali takaful yang melakukan pelaburan terhadap dana takaful atau dana pelaburan peserta menggunakan kontrak wakalah. Bagi transaksi seperti ini kontrak Wakalah bil Istithmar diguna pakai bagi melayakkan pengendali takaful mendapat upah di atas pelaburan yang dilakukan di samping upah pengurusan dana takaful yang telah dikenakan. Majlis Penasihat Syariah BNM juga telah memutuskan pada mesyuarat khas kedua bertarikh 18 Jun 2007 bahawa kontrak Wakalah bil Istithmar diharuskan di sisi syarak.

Walau bagaimanapun, kontrak Wakalah bil Istithmar tidak membenarkan pengendali takaful untuk mengambil sebarang keuntungan di atas pelaburan yang telah dilakukan sebagaimana kontrak mudarabah yang bergantung semata-mata kepada keuntungan pelaburan.

Sebagai peserta takaful, anda seharusnya berusaha untuk memahami setiap kontrak yang diaplikasikan dalam takaful supaya dapat mengetahui kesan-kesan yang berlaku sekiranya bertransaksi. Dengan ini, anda dapat menilai ketelusan dan kelebihan sistem takaful dengan lebih adil, malah pada masa yang sama memberikan kebaikan dari sudut perlindungan kepada anda sekeluarga.

– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/konsep-wakalah-aplikasi-dalam-takaful-1.170103#sthash.fDP9Ao19.dpuf

12373213_1659695257637878_8232492695106792581_n

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Sumber Info Takaful Anda!

%d bloggers like this: