Takaful untuk semua… Islam, bukan Islam

TAHUN 1984 telah menjadi salah satu sejarah besar buat umat Islam di Malaysia yang ingin mencari sistem perlindungan dan pengurusan risiko kewangan yang patuh syariah. Rakyat Malaysia telah menyaksikan sistem kewangan Islam melangkah setapak lagi dengan penubuhan syarikat takaful yang pertama setelah tertubuhnya Bank Islam yang pertama di Malaysia.

Penubuhan sistem takaful sedikit sebanyak dipengaruhi oleh keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1972 yang memutuskan bahawa kontrak insurans konvensional mempunyai masalah daripada pandangan syariah kerana kewujudan elemen ketidakpastian, perjudian dan riba.

Selain daripada fatwa tersebut, keinginan kuat umat Islam yang ingin mencari alternatif kepada sistem insurans konvensional juga sedikit sebanyak membantu penubuhan dan perkembangan takaful.

Suatu ketika dahulu, ramai yang menganggap kewangan Islam secara umumnya dan takaful khasnya hanya eksklusif untuk orang Islam. Mereka juga membuat anggapan bahawa orang bukan Islam tidak layak menjadi peserta atau ejen takaful kerana sistem ini dibangunkan atas dasar syariah yang memerlukan asas keimanan.

Tanggapan seperti ini adalah salah daripada ajaran Islam yang bersifat universal yang sentiasa memberikan kemudahan kepada umatnya untuk bertransaksi sesama manusia termasuk orang bukan Islam. Jika kita selusuri sejarah, Nabi Muhammad SAW sendiri pernah melakukan transaksi dan urusan muamalat dengan orang Yahudi seperti membeli makanan secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda seperti yang telah diriwayatkan oleh Al-Bukhari.

Dalil ini jelas menunjukkan bahawa tiada larangan untuk bertransaksi dengan orang bukan Islam asalkan perkara yang ditransaksikan tersebut tidak mempunyai elemen yang diharamkan seperti arak, penipuan, judi, riba dan sebagainya.

Untuk pengetahuan, takaful adalah direka berdasarkan konsep Ta’awun di mana peserta akan membantu di antara satu sama lain ketika ditimpa kesusahan. Konsep ini adalah merentas agama dan bangsa kerana fitrah kita sebagai manusia adalah melakukan kebaikan terhadap orang lain.

Dengan konsep ini juga, semangat harmoni dapat dilahirkan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam kerana mereka telah berjanji untuk menyumbang sejumlah wang bagi meringankan beban sesama mereka. Perkara seperti ini merupakan salah satu tuntutan agama dalam menjaga hak orang bukan Islam kerana Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melakukan kebaikan terhadap orang bukan Islam seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8).

Melihat daripada perspektif yang lain, takaful sebenarnya dapat menjadi salah satu mekanisme dakwah dalam mempromosikan agama Islam. Keterlibatan orang bukan Islam dalam takaful sedikit sebanyak membuka pintu maklumat mengenai keindahan agama Islam yang sentiasa memastikan ketelusan dan keadilan terhadap setiap transaksi yang dilakukan.

Dengan kata lain, mereka sendiri dapat menilai bagaimana agama Islam mencorakkan sistem kewangan Islam dan takaful tanpa sebarang prejudis terhadap pihak lain.

Bukan itu sahaja, ianya juga sedikit sebanyak dapat memberi pemahaman yang jelas kepada mereka termasuk umat Islam bahawa agama ini bukan semata-mata tertumpu kepada ibadah khusus sahaja bahkan ia merangkumi setiap sistem kehidupan manusia seperti ekonomi, politik, perundangan dan sebagainya.

Setelah 31 tahun kewujudan industri takaful, kita dapat melihat pertumbuhan yang sangat memberangsangkan hasil daripada kesedaran masyarakat termasuk yang bukan Islam mengenai kepentingan dan kelebihan takaful.

Mengikut Laporan Ekonomi 2015/2016 yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2015, aset industri takaful terus berkembang 5.8 peratus (RM23.7 bilion) pada akhir Ogos 2015 (akhir 2014: 8.7 peratus; RM22.7 bilion). Indikator ini menunjukkan bahawa industri takaful mempunyai masa depan yang cerah dalam menjadi salah satu penyumbang terpenting kepada ekonomi negara.

Sekiranya kita dapat menarik lebih ramai lagi orang Islam dan bukan Islam untuk menyertai takaful, angka tadi akan terus berkembang pesat dan pada masa yang sama akan meningkatkan ekonomi peserta-peserta itu sendiri melalui pengagihan keuntungan dan pembayaran zakat melalui pengendali takaful.

Sebagai umat Islam, kita seharusnya memandang jauh ke hadapan dengan memberi sokongan penuh terhadap sistem takaful yang dibangunkan. Janganlah kita membantutkan perkembangan takaful dengan mempunyai sikap mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh syarak. Sebaliknya, promosi mengenai kelebihan sistem takaful kepada orang bukan Islam seharusnya giat dijalankan supaya mereka dapat merasai keindahan dan keadilan sistem ini bersama-sama.

PENULIS adalah Ketua Unit Syariah, Pengurusan Strategik & Syariah

Great Eastern Takaful Berhad

– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/takaful-untuk-semua-islam-bukan-islam-1.172632#sthash.zhkIxtdO.dpuf

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Sumber Info Takaful Anda!

%d bloggers like this: