Posted in Buletin

Lebih banyak produk modal Islam diperlukan – Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Terdapat keperluan besar untuk mengembangkan produk modal Islam ba­gi memastikan pergantungan yang lebih rendah ke atas sistem perbankan, selain mewujudkan kestabilan kewangan yang lebih tinggi, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, aset perbankan Islam hari ini menyumbang kira-kira 80 peratus daripada sistem kewangan Islam dunia, manakala produk modal Islam menyumbang baki 20 peratus.

Sultan Nazrin bertitah, asas utama pasaran modal Islam ialah pasaran sukuk dan ekuiti.

“Kedua-duanya telah meng­a­lami pertumbuhan positif dengan jumlah sukuk global hari ini bernilai AS$320 bilion (RM1.35 trilion). Secara puratanya dalam tempoh tiga tahun lepas, kira-kira satu perlima terbitan dalam bentuk korporat, manakala empat perlima terbitan membabitkan negara atau berkaitan negara.

“Pasaran sukuk secara keselu­ru­hannya berkembang, namun ke­dudukan pasaran sukuk korpo­rat berbeza, dengan merekodkan­ aliran menurun sejak empat tahun lepas. Ini perlu ditangani bagi mengubahnya,” titah bagin­da.

Menurut baginda, terbitan su­kuk sering dilihat sebagai sesuatu yang mahal, memakan masa dan kompleks, manakala ada berpendapat bahawa ini menghalang penyertaan peserta korporat walaupun ini mungkin mereka tidak biasa dengan produk berkenaan.

“Oleh itu, perlu ada usaha yang lebih bersepadu untuk mempromosi dan mendidik sektor korporat supaya mereka lebih bersedia untuk mengintegrasikan sukuk ke dalam rancangan kewangan korporat masing-masing. Mereka yang terlibat dalam produk mo­dal Islam juga perlu bekerjasama jika mahu pasaran sukuk korporat mencatatkan aliran menaik,” titah Sultan Nazrin.

Baginda juga menegaskan bahawa selain perlunya terbitan su­kuk korporat yang lebih tinggi, ekuiti dan dana Islam juga tidak mencatat prestasi yang baik.

“Kita semua telah mendengar kisah kejayaan indeks ekuiti Islam telah mengatasi indeks konvensional. Namun yang kurang diketahui ialah jumlah dana Islam dan saiz aset dana Islam semakin berkurangan.

“Daripada 1,100 lebih dana Islam yang ada, kurang daripada tiga suku mempunyai purata AS$25 juta (RM105.75 juta) Aset Dalam Pengurusan.

“Ini jauh berbanding purata AS$395 juta (RM1.67 bilion) yang digerakkan oleh dana konvensio­nal di peringkat global. Yang memburukkan lagi keadaan, kira-kira satu pertiga daripada 1,000 lebih dana Islam diklasifikasikan sebagai tidak aktif,” titah baginda.

Mengulas mengenai takaful, Sultan Nazrin bertitah, industri itu merupakan satu-satunya yang mengekalkan pertumbuhan dua digit, walaupun ini disebabkan oleh asas kecil penyumbang takaful.

Melalui 305 pengendali takaful dan takaful semula, jumlah aset takaful berjumlah AS$25 bili­on­­ (RM105.75 bilion) atau lebih sedikit daripada satu peratus daripada sistem ke­wangan Islam global. Namun, pe­nembusan insurans di keban­yakan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) masih rendah.

“Ia merupakan pasaran besar yang belum diteroka dan syarikat takaful perlu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam menyediakan produk dan perkhid­matan inovatif kepada pe­langgan berpotensi mereka,” titah Sultan Nazrin.

Sementara itu, Kewangan Islam perlu meneroka teknologi kewangan (fintech) sejajar dengan keperluan pembiayaan global, titah Sultan Nazrin.

Titah baginda, ini adalah sejajar dengan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang mana teknologi individu sedang pesat dibangunkan dan memperkukuh­kan antara satu sama lain. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lebih-banyak-produk-modal-islam-diperlukan-8211-sultan-nazrin-1.533873#ixzz4vAFivlYR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements
Posted in Buletin

Polisi insurans RM80j tak dituntut

termasuk sijil takaful matang kerana tidak dimaklumkan kepada waris.

KUALA LUMPUR 9 Jun – Sebanyak RM80 juta daripada lebih 110,000 polisi insurans dan sijil takaful yang telah matang tidak dituntut oleh pemilik atau waris sepanjang tahun 2016 kerana tidak dimaklumkan kepada ahli keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Holdings Berhad, Kamaludin Ahmad berkata, kajian yang dilakukan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menunjukkan bahawa ramai individu tidak memberitahu kewujudan polisi insurans atau sijil takaful atas nama si mati kepada waris mereka.

Jelas beliau, di Etiqa sahaja terdapat kira-kira RM13 juta nilai polisi atau sijil yang tidak dituntut.

“Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menghubungi semua waris yang terlibat, namun sebahagian mereka tidak mengemas kini maklumat peribadi se­perti nombor telefon dan alamat sehingga menimbulkan sedikit kesulitan.

“Etiqa secara proaktif cuba mengesan waris-waris melalui penubuhan pasukan khas yang ditugaskan untuk mengenal pasti pemilik polisi atau sijil yang telah meninggal dunia dengan menjalankan carian secara sistematik,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambah Kamaludin, jumlah polisi dan sijil yang tidak dituntut memberi pengajaran dan kesedaran kepada generasi akan datang supaya tidak terbeban untuk mengenal pasti manfaat insurans atau takaful yang tidak dituntut.

Katanya, Etiqa mahu menangkis persepsi negatif umum bahawa syarikat insurans dan takaful hanya berminat untuk mengutip premium serta sumbangan tetapi keberatan membayar tuntutan.

“Itu semua tidak benar dan kami teruja untuk membayar tuntutan kepada para pelanggan. Dalam kebanyakan kes, tuntutan sememangnya dibayar kerana dapat meringankan beban kehidupan pemegang polisi dan waris mereka.

“Jika pelanggan dilindungi oleh polisi insurans atau sijil takaful, maklumkan kepada ahli keluarga dan berikan seba­nyak mungkin maklumat kepada syarikat insurans atau takaful mengenai waris-waris agar lebih mudah untuk kami menjejaki mereka,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/polisi-insurans-rm80j-tak-dituntut-1.491571#ixzz4jxIG1cYM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted in Buletin, Manfaat takaful

10 perkara penting tentang pelan takaful anda

tak15

APABILA anda mengambil pelan Takaful, anda tentu mengharapkan perlindungan dan manfaat sebagaimana yang telah dipersetujui dan termaktub dalam akad yang ditandatangani.

Anda mahu pelan takaful yang diambil berbaloi dengan jumlah caruman yang dibuat sepanjang tempoh perlindungan sijil.

Oleh itu, sebelum mengambil sebarang pelan Takaful seperti kad perubatan atau pelan berkaitan pelaburan, ada beberapa perkara penting yang perlu anda ketahui. Hal ini bagi mengelak permohonan anda ditolak, sukar apabila membuat tuntutan atau caruman menjadi mahal.

Maklumat berikut juga diharap dapat membantu anda ketika berbincang dengan perunding takaful untuk merangka pelan takaful yang betul dan menepati keperluan anda.

Jenis pelan yang diambil

Dapatkan khidmat perunding takaful untuk menjelaskan manfaat yang anda perlukan dan pastikan anda mendapat manfaat-manfaat tersebut daripada pelan yang disertai.

Anda mungkin mengambil sesuatu pelan dan mungkin tidak memahami perlindungan apa sebenarnya yang diambil. Sebagai contoh, pelan takaful berkaitan pelaburan mempunyai manfaat perlindungan dan pelaburan. Anda perlu tahu caruman untuk pelan tersebut akan diletakkan ke dalam dua dana yang berbeza iaitu dana pelaburan dan dana perlindungan.

Jika anda mahukan potensi pulangan pelaburan yang lebih, maka peratusan caruman anda akan dilebihkan kepada dana pelaburan. Ini juga bermakna jumlah manfaat perlindungan yang akan dibayar kepada anda sekiranya terdapat tuntutan akan lebih rendah.

Oleh itu, penting untuk anda membuat keputusan yang betul dalam menetapkan peratusan jumlah pelaburan dan perlindungan mengikut keperluan anda. Terdapat juga beberapa manfaat yang dibayar hanya jika terma dan syarat dipenuhi lebih-lebih lagi manfaat berbentuk kewangan.

Pastikan anda maklum mengenai terma dan syarat tersebut supaya tidak berasa kecewa atau tertipu jika tidak dapat menikmati manfaat tersebut kerana tidak memenuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Umur

Umur adalah antara faktor utama dalam menentukan sumbangan atau caruman bulanan takaful seseorang. Semakin tinggi risiko (disebabkan faktor umur), maka semakin mahal caruman yang perlu dibayar.

Boleh dikatakan semua pelan takaful kanak-kanak boleh diambil seawal umur 30 hari manakala lain-lain pelan takaful pula seawal umur 19 tahun. Oleh itu, jangan berlengah untuk membuat keputusan mengambil pelan perlidungan bagi mengelak anda daripada membayar caruman yang lebih mahal.

Jantina

Walaupun pada umumnya, caruman untuk wanita lebih rendah daripada lelaki, wanita perlukan kesedaran tentang pelbagai jenis penyakit khusus kepada wanita yang mungkin tidak dilindungi dengan pelan perubatan sedia ada. Oleh itu mereka perlu mengambil manfaat tambahan khas bagi penyakit berkaitan wanita seperti kanser payudara atau rahim.

Merokok

Perokok mempunyai risiko kesihatan yang sangat tinggi. Secara amnya, individu perokok lebih berkemungkinan untuk menghidap penyakit kronik daripada bukan perokok.

Golongan perokok ini masih berpeluang mengambil pelan takaful, namun perlu bersedia untuk membayar caruman yang lebih tinggi berbanding individu yang tidak merokok.

Berbincanglah dengan perunding takaful anda untuk mengetahui caruman yang perlu anda bayar setiap bulan.

Penyakit sedia ada

Nyatakan status kesihatan anda secara telus ketika mengisi borang permohonan. Jika anda ada masalah kesihatan atau sejarah perubatan sebelum ini, anda wajib memberitahu perunding takaful anda supaya tidak berlaku sebarang masalah ketika membuat tuntutan nanti.

Pengendali takaful tidak akan menanggung kos perubatan penyakit sedia ada dan kadar sumbangan yang lebih tinggi akan dikenakan kepada pemohon yang mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Tempoh menunggu

Tuntutan bagi kad perubatan tidak boleh dibuat dalam tempoh menunggu iaitu maksimum 120 hari daripada tarikh sijil berkuatkuasa melainkan disebabkan kemalangan.

Jika dimasukkan ke wad disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu seperti kanser atau diabetes dalam masa 120 hari, pengendali takaful tidak akan menanggung kos perubatan tersebut. Ini kerana, penyakit-penyakit sebegitu dianggap sudah dihidapi sebelum mengambil pelan takaful.

Pekerjaan dan hobi

Jenis pekerjaan dan hobi anda akan menentukan apakah jenis perlindungan yang diperlukan dan berapakah amaun sumbangan yang bersesuaian. Pekerjaan dan hobi yang berbahaya dan berisiko tinggi terpaksa membayar caruman yang lebih tinggi berbanding pekerjaan yang berisiko rendah.

Sebagai contoh, caruman untuk jurutera pelantar minyak adalah lebih mahal kerana risiko mendapat kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dengan orang yang bekerja di dalam pejabat.

Sijil takaful luput

Sijil takaful akan luput sekiranya anda terlepas membuat bayaran atau ada tunggakan. Kes begini sering terjadi jika pemegang sijil membuat bayaran secara manual setiap bulan. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, gunakan kemudahan pembayaran seperti potongan terus dari akaun bank atau kad kredit.

Anda juga boleh membuat bayaran secara tahunan untuk kemudahan. Jika sijil takaful telah luput, anda tidak boleh menikmati manfaat perlindungan pelan seperti menggunakan kad perubatan untuk kemasukan ke hospital. Ini juga merupakan sebab utama Guarantee Letter (GL) anda tidak dikeluarkan oleh pengendali takaful.

Tuntutan melebih had

Jika jumlah kos rawatan anda melebihi had tahunan atau seumur hidup, maka lebihan tidak akan ditanggung oleh pengendali takaful. Sebagai contoh, had tahunan anda RM75,000 dan had seumur hidup RM1,000,000.

Bermakna, dalam masa setahun anda hanya boleh membuat tuntutan sehingga RM75,000. Sekiranya bil melebihi RM75,000 anda perlu bayar selebihnya menggunakan wang sendiri.

Had seumur hidup pula merujuk kepada had jumlah tuntutan sepanjang tempoh perlindungan sijil yang akan dibayar tidak melebihi RM1,000,000. Pastikan anda mengambil pelan perlindungan yang boleh meningkatkan had-had tersebut apabila anda mampu berbuat demikian.

Pelbagai manfaat tambahan (rider) untuk keperluan berbeza

Terdapat pelbagai jenis rider yang ditawarkan bagi memenuhi keperluan yang berbeza. Misalnya, ada rider khusus untuk perlindungan wanita, kemalangan, penyakit kritikal, kad perubatan, pendapatan dan pelbagai lagi.

Oleh itu, penting untuk anda semak semula pelan perlindungan anda jika terdapat perubahan dalam status kehidupan anda seperti berkahwin atau memulakan keluarga dan lihat jika anda perlu menambah rider untuk mendapatkan perlindungan yang optimum.

Sila layari laman web kami di www.greateasterntakaful.com atau facebook.com/greateasterntakaful

Artikel ini dibawakan oleh Great Eastern Takaful

sumber: Sinar Harian

AHMAD HANIZAM BIN ABDULLAH

Posted in Buletin, Cerita Takaful, i-Great Mega

Rancang sekarang elak kekecewaan di masa depan

Kuala Lumpur: Pengurusan kewangan yang betul adalah kunci utama dalam menentukan kelangsungan hidup dengan lebih teratur namun berapa ramai mempunyai matlamat hidup yang jelas dan merancang kewangan mereka sebaik mungkin untuk menghadapi hari tua.

Perunding Kewangan dan Pengasas HIJRAH Wealth Management Sdn Bhd, Rohani Datuk Mohd Shahir berkata, pemeliharaan hak masyarakat bermula dengan keupayaan menjana pendapatan peribadi masing-masing. Katanya, wang perlu mengalir untuk kesejahteraan masyarakat dan pengaliran wang berlaku dalam lima bentuk utama iaitu upah hasil pekerjaan, jual beli, pelaburan, cukai, zakat serta sedekah.

“Daripada pemantauan kami, kebanyakan rakyat Malaysia tidak memberi fokus kepada persaraan mereka, apatah lagi bila kita berbicara mengenai rancangan persaraan bagi masyarakat di luar bandar, rata-rata meletakkan harapan untuk anak yang akan menjaga mereka pada waktu tua nanti.

“Sebenarnya, sangat penting untuk kita mempelbagaikan simpanan dan menguruskan kewangan daripada peringkat muda lagi. Hakikatnya, rakyat Malaysia masih belum mempunyai kesedaran tinggi untuk menampung kehidupan mereka selepas bersara,” katanya.

Rohani berkata, bagi mereka yang bekerja dalam sektor swasta pula, selalu beranggapan mempunyai simpanan yang mencukupi terutama mereka yang sudah menjadi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Menurut KWSP, daripada enam juta pencarum KWSP yang aktif, sebanyak 80 hingga 90 peratus mempunyai simpanan asas bawah dari RM100,000 dan majoritinya ada simpanan antara RM10,000 ke RM20,000 saja.

Selain itu, sebanyak 38 peratus (2.8 juta pencarum) mempunyai simpanan asas RM196,800, manakala 65 peratus mereka yang berumur 54 tahun hanya mempunyai lebih kurang RM50,000.

Rohani berkata, sekurang-kurangnya simpanan asas perlu ada bagi mereka yang mencapai usia persaraan (55 tahun) adalah RM196,800 yang mana dianggarkan hanya RM820 setiap bulan boleh dibelanjakan sehingga tempoh 20 tahun iaitu sampai usia 75 tahun.

Beliau berkata, sangat penting untuk mencapai matlamat kewangan daripada mula bekerja hingga bersara dan jika boleh 15 peratus daripada gaji yang diperoleh perlu diasingkan yang mana 10 peratus untuk perlindungan takaful, manakala lima peratus rancang untuk simpanan persaraan sendiri.

“Di Malaysia, kita beruntung kerana wujudnya KWSP yang membantu sebagai perancang persaraan dan bayangkan jika KWSP tidak wujud, sudah pasti ia sukar untuk dilaksanakan.

“Persediaan awal perlu dibuat agar kita tidak perlu bekerja selepas bersara dan tahap kesihatan harus dititikberatkan.

Kebanyakan pencarum mengeluarkan caruman untuk kesihatan dan kalau boleh wang itu jangan dikeluarkan sebab tujuan utamanya untuk selepas bersara,”katanya.

Banyak alternatif lain boleh diguna pakai, antaranya mengambil kad perubatan atau perlindungan takaful kerana kos sara hidup dan perubatan semakin meningkat.

“Musibah boleh berlaku tanpa disangka maka pendapatan masa depan kita perlu dilindungi. Kita perlu jaminan keselamatan daripada tuntutan kewangan yang besar iaitu dengan mengambil insurans untuk menampung musibah yang tidak boleh ditanggung keluarga ataupun diri kita dengan kewangan peribadi yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 6:12 AM
sumber: Harian Metro
.
P/S: Tahukah anda bahawa ada satu plan di mana anda boleh mencipta satu dana yang bernilai RM500,000 dengan pilihan caruman 10 atau 20 tahun dan pada kadar yang anda mampu.
.
Boleh hubungi saya untuk anda dapatkan maklumat lanjut.
.
AHMAD HANIZAM BIN ABDULLAH
Posted in Buletin, Cerita Takaful

Membuat tuntutan Takaful

imej1

TAKAFUL akaful merupakan permuafakatan sekumpulan individu untuk saling menjamin dan membantu antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan tertentu yang dipersetujui di kalangan mereka seperti pampasan bagi sesuatu musibah yang menimpa serta keperluan kewangan lain.

Permuafakatan ini melibatkan sumbangan wang caruman berasaskan konsep Tabarru’ iaitu perkongsian secara sukarela oleh semua peserta takaful.

Kelebihan atau manfaat mempunyai perlindungan takaful adalah cukup besar bagi meringankan beban yang ditanggung sekiranya peserta ditimpa musibah.

Misalnya, jika berlaku musibah yang dilindungi, waris peserta boleh membuat tuntutan yang membolehkan mereka menerima pampasan secara sekali gus yang merangkumi; jumlah perlindungan asas, jumlah perlindungan tambahan dan jumlah di dalam Akaun Individu Peserta (PIA jika ada).

Bagi memudahkan proses tuntutan, adalah penting untuk mengetahui dan mengenal pasti dokumen-dokumen yang diperlukan untuk membuat tuntutan takaful yang berbeza.

Hubungi wakil ejen atau syarikat pengendali takaful anda untuk mendapatkan maklumat bagi proses tuntuan.

Wakil ejen atau pihak pengendali takaful akan menyerahkan borang tuntutan untuk diisi oleh peserta atau ahli keluarga terdekat.

Anda juga boleh mendapatkan maklumat di laman-laman web pengendali takaful.

Lazimnya borang-borang boleh dimuat turun dari laman web tersebut.

Peserta atau ahli keluarga terdekat perlu mengemukakan dokumen tuntutan mengikut senarai semakan.

Proses seterusnya akan menjadi lebih mudah dan cepat jika dokumen yang diperlukan semuanya lengkap semasa penyerahan.

Anda perlu memastikan tuntutan yang akan dibuat adalah antara manfaat yang terdapat dalam pelan perlindungan yang anda miliki.

Beberapa perkara penting yang boleh menyebabkan tuntutan tidak dapat dibayar oleh pengendali takaful juga perlu diambil kira, antaranya kerana penyakit sedia ada tidak didedahkan semasa mengisi borang cadangan, sijil takaful yang telah luput akibat tiada pembayaran dibuat atau kejadian yang berlaku di luar daripada skop perlindungan dan sebagainya.

Peserta perlu memberi informasi yang telus kerana pengendali takaful akan membuat pengunderaitan untuk menyaring bakal peserta yang layak berasaskan peraturan sedia ada yang dikawal oleh Bank Negara Malaysia.

Sejarah penyakit perlu diistiharkan oleh peserta untuk menentukan kadar sumbangan yang bersesuaian dan memberi perlindungan kepada penyakit sedia ada.

Sekiranya peserta meninggal dunia, waris terdekat boleh mengemukakan tuntutan kematian.

Antara dokumen yang perlu disertakan adalah sijil kematian, laporan bedah siasat dan laporan perubatan daripada pegawai perubatan yang terakhir merawat peserta.

Pampasan yang dibayar dapat membantu ahli keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Manakala bagi tuntutan hilang upaya kekal dan menyeluruh (disebabkan penyakit atau kemalangan), dokumen yang diperlukan ialah laporan penilaian perubatan selepas enam bulan daripada tarikh hilang upaya, salinan kad pengenalan dan borang tuntutan yang lengkap diisi.

Jika melibatkan tuntutan akibat kemalangan, salinan laporan polis juga perlu disediakan.

Bagi peserta yang mempunyai kad perubatan, mereka boleh menggunakannya bagi tujuan kemasukan ke panel hospital di seluruh Malaysia.

Sebelum surat jaminan dikeluarkan, penilaian akan dilakukan berdasarkan kepada laporan perubatan doktor yang merawat.

Selain itu, peserta juga boleh mengemukakan tuntutan perubatan bagi rawatan kemasukan ke hospital bukan panel.

Antara dokumen yang perlu disertakan ialah borang tuntutan, laporan perubatan, resit asal, bil asal, bil terperinci dan laporan makmal (jika ada). Pegawai tuntutan akan menilai setiap dokumen yang diberi.

Sekiranya perlu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkenaan dengan sejarah perubatan peserta.

Manakala perlindungan terhadap 36 penyakit kritikal dapat dimanfaatkan oleh peserta sekiranya didiagnos menghidap salah satu daripadanya.

Tuntutan bagi  penyakit kritikal seperti strok, serangan jantung, kegagalan fungsi buah pinggang, kanser dan sebagainya perlu disertakan dokumen seperti borang tuntutan, laporan perubatan, laporan makmal/ radiologi dan sebagainya.

Pampasan akan dibayar jika keadaan peserta memenuhi kriteria seperti mana yang diterangkan dalam sijil. Ia dapat membantu peserta serta ahli keluarga di saat-saat memerlukan.

Terutama dalam mengenalpasti jenis rawatan yang bersesuaian serta peluang untuk mendapatkan kepelbagaian jenis rawatan lain yang juga boleh dilakukan seperti pembedahan dan sebagainya.

Sekiranya peserta masih hidup hingga akhir tempoh sijil, manfaat kematangan akan dibayar kepadanya di mana peserta perlu mengembalikan dokumentasi sijil asal kepada pengendali takaful.

Sekiranya pengendali takaful berpuas hati mengenai kesahihan semua informasi yang dikemukakan, semua pertanyaan lain telah terjawab sepenuhnya dan memenuhi syarat-syarat sijil maka pengendali takaful akan membayar amaun tuntutan.

Apa yang perlu dititikberatkan mengenai pembayaran tuntutan ialah kita perlu berbalik semula kepada konsep takaful itu sendiri di mana dana yang disumbangkan itu adalah milik para peserta.

Oleh itu, peranan pengendali takaful yang bertindak sebagai pemegang amanah sangatlah penting untuk memastikan pembayaran dilakukan secara adil dan telus serta tiada sebarang unsur penyelewangan berlaku.

Proses membuat tuntutan sebenarnya tidaklah sukar atau mengambil masa yang lama seperti yang didakwa sesetengah pihak sekiranya semua prosedur dipatuhi.

Lebih cepat diuruskan maka adalah lebih baik untuk ahli keluarga yang terlibat, agar kehidupan dapat diteruskan dan meringankan beban kewangan yang ditanggung.

Sila layari laman web kami  di www.greateasterntakaful.com atau facebook.com/greateasterntakaful.com

AHMAD HANIZAM BIN ABDULLAH

Posted in Buletin, Cerita Takaful

Tahun baharu, masa untuk berubah kepada Takaful

kom

SEIRING peredaran masa dan peningkatan usia, keinginan untuk melakukan perubahan adalah sesuatu yang normal.

Jika selama ini anda tidak mementingkan soal halal haram dalam urusan muamalat, sempena tahun baru 2017, lakukan perubahan.

Sama ada perubahan yang ingin dibuat itu besar atau kecil, yang penting langkah ke arah itu perlu dilakukan segera.

Jika bukan sekarang, bila lagi? Bagi anda yang ingin mengambil pelan perlindungan, maklumat berikut diharap dapat memberi gambaran yang lebih jelas tentang beberapa perkara berkaitan pelan Takaful.

Akad vs kontrak

Sekali imbas, Takaful dan insurans konvensional tiada perbezaan tetapi sebenarnya terdapat perbezaan yang ketara antara kedua-duanya.

Akad adalah persetujuan di antara pencarum dengan pengendali Takaful atas dasar kerjasama antara kedua-dua pihak.

Pengendali Takaful hanya mengambil upah menguruskan sijil Takaful peserta.

Dalam insurans konvensional perjanjian di antara kedua-dua pihak adalah berdasarkan kontrak jual beli. Pencarum ialah pembeli insurans dan syarikat ialah penjual insurans.

Mengikut hukum syarak, jual beli risiko nyawa tidak dibolehkan.

Perkongsian keuntungan

Melihat dari sudut untung dan rugi pula, apabila mengambil Takaful, untung dan rugi sama-sama dirasai.

Jika tabung dana masih berbaki pada setiap hujung tahun, maka lebihan ini akan dikongsi bersama pengendali Takaful dan pencarum mengikut kadar yang ditetapkan di dalam akad.

Begitu juga dengan keuntungan pelaburan yang akan dimasukkan ke dalam akaun unit peserta supaya peserta akan mendapat manfaat matang yang lebih tinggi di akhir tempoh pelan perlindungan.

Prinsip Muafakat

Kita perlu memahami bahawa Takaful bukan sahaja mengamalkan prinsip-prinsip agama (patuh syariah) tetapi juga sesuai dan praktikal selaras dengan keperluan hidup di dunia dan memberi kebaikan di akhirat.

Sistem Takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, perlindungan dan saling membantu dalam kalangan pesertanya.

Ia merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama bagi membantu mereka yang memerlukan, pemegang sijil bekerjasama dengan pertolongan pengendali Takaful untuk saling membantu dan bukannya untuk keuntungan, selaras dengan prinsip ta’awun.

Selain itu, syarikat pengendali Takaful juga wajib membayar zakat perniagaan yang mana sumbangan tersebut digunakan untuk membantu komuniti di sekitar yang memerlukan.

Apa ada pada Takaful

Sudah sedia maklum Takaful menyediakan pelan perlindungan meluas untuk memenuhi keperluan anda yang perbagai daripada perubatan, perlindungan aset, pendidikan, pelaburan dan banyak lagi.

Setiap peserta yang menyertai Takaful akan mendapat manfaat apabila ditimpa musibah dalam bentuk pampasan kewangan ataupun pembiayaan kos berkaitan.

Bayaran manfaat adalah adil kerana wang tersebut dibayar dari Dana Tabarru’ yang khusus untuk bayaran tuntutan manfaat.

Bantuan kewangan daripada pelan Takaful membolehkan keluarga yang ditinggalkan mampu meneruskan hidup seperti biasa tanpa dibebani hutang seperti yang dituntut Islam.

Di samping mendapat manfaat atau keuntungan di dunia, penyertaan Takaful sebenarnya membuka peluang untuk kita mendapat ganjaran yang berterusan sebagai bekalan di akhirat kelak.

Sumbangan anda (tabarru’) juga akan digunakan oleh peserta lain yang ditimpa musibah seperti yang tertera di dalam akad Takaful.

Secara tidak langsung, konsep takaful ini menggalakkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.

Dengan kelebihan-kelebihan takaful yang dinyatakan, jadikan tahun baharu ini detik terbaik untuk melakukan perubahan. Ayuh, mulakan langkah anda hari ini!

Sila layari laman web kami di www.greateasterntakaful.com atau facebook.com/greateasterntakaful.

AHMAD HANIZAM BIN ABDULLAH

Posted in Buletin, Cerita Takaful

Ambil tahu tentang sijil Takaful anda

sijil

SIJIL Takaful boleh didefinisikan sebagai suatu dokumen perlindungan Takaful atau kontrak Takaful bagi Takaful Keluarga dan Takaful Am yang di dalamnya terkandung terma serta syarat yang dipersetujui antara peserta dengan pengendali Takaful.

Di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, sijil Takaful Keluarga dan kemalangan diri didefinisikan sebagai sijil Takaful yang manfaat Takafulnya akan dibayar sebagai bantuan kewangan apabila berlaku kematian atau kemalangan diri, penyakit atau keuzuran.

Sijil Takaful akan diserahkan kepada peserta Takaful setelah segala proses berkaitan selesai dilakukan oleh pengendali Takaful.

Antara proses yang perlu dilakukan ialah pengisytiharan oleh peserta terhadap segala maklumat kesihatan dan menjawab segala soalan yang terkandung di dalam borang cadangan Takaful dengan telus dan jujur.

Manakala pihak pengendali Takaful pula akan melakukan proses pengunderaitan secara profesional bagi memastikan bakal peserta layak menyertai pelan Takaful berpandukan segala peraturan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan memenuhi tuntutan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, bukan hanya memikirkan faktor keuntungan semata-mata dengan penyertaan peserta baru.

Peserta dan pengendali Takaful serta ejen-ejen seharusnya berusaha untuk mengisytiharkan fakta material ketika membentuk dan mewujudkan kontrak Takaful.

Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengakibatkan kesan yang buruk.

Sebagai contoh, peserta yang tidak mengisytiharkan rekod kesihatan mereka secara telus akan mengakitbatkan ketidakadilan dalam bayaran wang caruman ke dalam dana Tabarru’.

Ini kerana faktor kesihatan adalah salah satu kriteria dalam menentukan jumlah bayaran wang caruman demi memastikan keadilan terhadap sesama peserta Takaful apabila berlaku tuntutan.

Ejen-ejen Takaful pula perlulah bersikap berdisiplin dan amanah tanpa hanya memikirkan ganjaran kewangan yang bakal mereka terima dengan memastikan peserta Takaful cakna tentang perkara yang perlu mereka isytiharkan supaya tiada sebarang kemusykilan yang mungkin timbul di kemudian hari kelak jika pengisytiharan tidak dilakukan dengan telus.

Sementara itu, pihak pengendali takaful juga wajar mematuhi segala maklumat yang telah termaktub di dalam sijil Takaful sekiranya berlaku sebarang tuntutan yang layak diterima oleh peserta.

Akur dan memenuhi peraturan ketika memuktamadkan kontrak sijil Takaful dapat menjamin hak-hak kepada kedua-dua pihak pengendali Takaful dan juga peserta.

Hak peserta dan pengendali Takaful dalam sijil Takaful

Peserta boleh membuat aduan kepada Unit Aduan di syarikat pengendali takaful sekiranya hak mereka tidak ditunaikan mengikut kontrak takaful dan mereka juga boleh merujuk kepada Biro Pengantara Kewangan.

Biro ini merupakan salah satu badan bebas yang menjadi pengantara bagi menyelesaikan masalah di antara peserta/pengguna dengan syarikat penyedia perkhidmatan kewangan sebagai contoh pengendali Takaful.

Aduan ini boleh dipanjangkan kepada Bank Negara Malaysia sekiranya aduan di peringkat biro mencapai jalan buntu.

Pengendali Takaful pula berhak menamatkan atau membatalkan kontrak sekiranya peserta gagal memenuhi terma serta syarat di dalam sijil takaful. Segala aduan serta keputusan yang diperoleh adalah berdasarkan asas undang-undang yang ditetapkan dan bukan menurut emosi semata-mata.

Oleh yang demikian, sebaiknya pemilik sijil takaful mestilah memahami kandungan sijil Takaful mereka bagi mengenal pasti jenis perlindungan yang diberikan/ditawarkan dalam sesebuah pelan Takaful.

Ejen-ejen takaful memainkan peranan yang sangat penting kerana tidak ramai peserta yang mengambil berat tentang perkara ini dan demi memastikan tidak berlaku salah faham atau keluhan khasnya daripada peserta takaful tentang ketidakpuasan hati mereka terhadap pengendali takaful.

Jika kedua-dua pihak dalam muamalah menerangkan segala aspek dalam transaksi yang mereka lakukan, membuat pengisytiharan secara jujur dan tidak menyembunyikan fakta yang material, mereka akan beroleh ganjaran keberkatan dalam muamalah mereka, Insya-ALLAH.

Sila layari laman web kami di www.greateasterntakaful.com atau facebook.com/greateasterntakaful

AHMAD HANIZAM BIN ABDULLAH